Ati pelbagaikan perniagaan
Oleh ROSMAH DAIN
SURYATI ABD. LATIFF di depan restoran miliknya yang berkonsepkan taman rimba.
JATUH bangun dalam bisnes merupakan perkara lumrah yang harus dilalui mereka yang memilih bidang perniagaan.Bagi Suryati Abd. Latiff, 51, bidang perniagaan yang diceburinya sejak 30 tahun lalu ditempuhi dengan penuh keazaman biarpun ada masanya dia pasrah dengan pelbagai dugaan yang mendatang.
Minat yang mendalam dalam dunia ini tidak sedikit pun mematahkan semangatnya ketika dilanda kejatuhan dalam perniagaan gerai yang dibuka secara kecil-kecilan.
“Dalam dunia perniagaan, macam-macam saya alami. Gerai makan saya pernah dirobohkan, kemudian salah pilih tempat niaga menyebabkan jualan tidak laris, perniagaan jatuh akibat iri hati rakan-rakan dan sebagainya.
“Tetapi itu semua tidak menghalang saya untuk terus bangkit.
Dugaan itu saya jadikan semangat untuk tidak gagal lagi,’’ katanya.
Gigih
Berbekalkan semangat itu juga, wanita gigih ini kini membuka sebuah restoran keluarga, YZ Bamboo Steak House, yang diusahakan bersama suaminya, Zulkifly Ishak, 57.
Restoran yang berkonsepkan taman rimba itu dibuka di rumahnya di No. 23, Jalan Kampung Sungai Mulia, Gombak, Kuala Lumpur (Tel: 03-4025 4226) setahun lalu.
Berbekalkan modal hasil titik peluh sendiri, wanita ini bukan sahaja dikagumi dengan semangatnya yang tinggi malah dia turut terkenal kerana kebolehannya memasak.
Berdasarkan pengalaman yang lama dalam bidang masakan dan berani mencuba, Suryati menyediakan semua resipi dan memasak sendiri makanan yang dipesan pelanggan.
Antara masakan beliau yang terkenal ialah asam ikan nyonya serta udang dan mi wantan selain menyediakan masakan Barat.
“Ramai yang menggemari mi wantan apabila datang ke sini. Selalunya mi ini dijual oleh orang Cina tetapi saya mencuba untuk membuatnya sendiri berdasarkan pemerhatian bagaimana tukang-tukang masak Cina membuatnya.
“Selain sedap, mi wantan itu juga dijamin halal kerana saya membuat sendiri bahan-bahan dan ramuannya,’’ katanya.
Di samping membuka restoran, Suryati menyedari untuk berjaya dalam bidang itu seseorang peniaga mesti pandai melebarkan lagi jaringan bisnes.
Justeru, beliau turut membuka perniagaan kebun menjual bunga- bungaan di samping peralatan kebun dan pasu bunga, katering, kanopi perkahwinan, pengangkutan dan perabot-perabot batu taman.
Belajar daripada pengalaman, wanita ini turut menyertai pertanian agro dengan membuka kawasan kebun dan sayur-sayuran bagi mendapatkan pendapatan sampingan.
Yang lebih membanggakan wanita ini turut membekalkan yong tau fu kepada beberapa premis dan restoran di sekitar Lembah Klang.
“Alhamdulillah, yong tau fu saya mendapat permintaan yang menggalakkan daripada orang ramai yang menggemari makanan ini,’’ katanya yang mempunyai empat orang anak yang kesemuanya lelaki.
Suryati berkata, selagi masih sihat, beliau akan terus berniaga kerana itulah minatnya sejak dari kecil.
“Berniaga memang bagus tetapi kita perlu rajin berusaha,’’ katanya.
Restoran YZ Bamboo
No. 23, Jalan Kampung Sungai
Mulia, Gombak,Kuala Lumpur.
Tel: 03-4025 4226
Suriyati : 017-6606621
Zulkifly : 012-2572628